Asal-usul dan warisan Nasruddin

Pelbagai masyarakat menuntut Nasruddin sebagai ahli etnik mereka.[4][5] Beberapa sumber menyatakan tempat kelahirannya di Desa Hortu di Sivrihisar, Provinsi Eskişehir, kini Turki, pada abad ke-13. Beliau kemudian tinggal di Akşehir, dan seterusnya di Konya semasa pemerintahan Dinasti Seljuk. Beliau meninggal pada tahun 1275/6 atau 1285/6 M. Makam Nasruddin dipercayai terletak di Akşehir dan "Pesta Khojah Nasruddin Antarabangsa" diadakan setiap tahun di Akşehir pada 5–10 Julai.[6][7][8][9]

Menurut Prof. Mikail Bayram yang menjalankan kajian terperinci mengenai Khojah Nasruddin, nama lengkapnya ialah Nasir ud-din Mahmud al-Khoyi, digelar Ahi Evran (kerana menjadi pemimpin pertubuhan ahi). Beliau lahir di bandar Khoy di Azerbaijan, menuntut ilmu di Khorasan di mana beliau menjadi anak murid kepada seorang mufassir Quran yang terkenal iaitu Fakhruddin al-Razi di Herat. Beliau dihantar ke Anatolia oleh sang Khalif di Baghdad untuk mengaturkan pertahanan dan perlawanan terhadap serangan dari Mongol. Beliau berkhidmat sebagai seorang qadi di Kayseri. Inilah sebabnya mengapa dalam cerita beliau bertindak sebagai hakim, bukan hanya dari segi keagamaan sahaja. Selama pergolakan dari serangan Mongol, beliau menjadi lawan politik Jalaluddin Rumi, tokoh agung lain pada masa itu yang juga tinggal di Konya. Atas sebab inilah beliau terkenal dengan anekdot-anekdot juha dalam karya <i>Masnavi</i>. Nasruddin menjadi wazir (bendahara) kepada Sultan Kaykaus II di Konya.[10] Oleh kerana beliau pernah tinggal di pelbagai tempat dan setia melawan serangan Mongol serta memiliki perwatakan yang penuh jenaka, beliau disambut baik oleh pelbagai bangsa dan budaya dari Turki hingga Arab, dari Rusia sehingga China, yang rata-ratanya merupakan bangsa-bangsa yang menjadi mangsa serangan Mongol.